Penglibatan Politik Aziz_Ishak

Sebelum tahun 1942, beliau adalah seorang ahli KMM dan selepas 1945 bersimpati dengan PKMM. Pada 1950 , beliau menyertai UMNO ketika diterajui oleh Datuk Onn Jaafar walaupun idea kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu masih tidak diterima Tunku Abdul Rahman.

Apabila Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) ditubuhkan pada 1951 oleh Onn Jaafar, Aziz menjadi timbalan pengerusi parti IMP cawangan Kuala Lumpur dan bertanding Pilihan raya 1952 di Sentul tetapi tewas kepada calon Perikatan .

Tahun 1952 juga, beliau meninggalkan IMP kerana berbeda pendapat dengan Onn. Dengan galakan Tunku, beliau menyertai semula UMNO pada April 1953. Pada tahun 1953, beliau telah dilantik ke Persidangan Meja Bulat Alliance yang dipanggil untuk pilihan raya umum awal di Tanah Melayu.

Pada tahun 1955, beliau dilantik sebagai Ketua UMNO Selangor dan Pengerusi Perikatan Selangor. Beliau turut merangka Manifesto Perikatan 1955 bagi menghadapi pilihan raya umum 1955 - isu seperti bahasa, pertanian, ekonomi, pendidikan dan kewangan.

Dalam Pilihan raya umum Tanah Melayu 1955, beliau bertanding tiket Perikatan dan menang di Kuala Langat . Beliau menentang calon Parti Negara. Perikatan menang 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

Pada September 1954, Aziz dan Tunku aktif berkempen pilihan raya di Terengganu dan akhirnya Perikatan menang walaupun British menyokong Parti Negara.

Beliau menang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1959 bagi kawasan Muar Dalam, negeri Johor (1958-1964). Ketika itu Perdana Menteri Malaysia ialah Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri ialah Tun Abdul Razak Hussein. Pilihan raya ini adalah yang pertama selepas merdeka 31 Ogos 1957.

Pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 ini cukup hebat kerana diadakan berperingkat-peringkat , bermula dari negeri Perlis hingga Kelantan. Ketika itu Sabah dan Sarawak belum menyertai / membentuk Malaysia. Kerusi Parlimen bertambah dari 52 (1955) kepada 104 kerusi (1959). Perikatan menang 74 kerusi dan pembangkang menang 30 kerusi.